Kelindan maut digilis lori

Bernama
Ogos 6, 2017 06:59 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat Kanowit mengusung mayat kelindan lori yang hanya dikenali sebagai Andrew berusia dalam lingkungan 50-an berasal dari Rumah Stephen, Nanga Dap. - fotoBERNAMA
Seorang kelindan lori maut selepas digilis lori dalam kejadian di jalan balak, dekat simpang Jalan Majau/Kanowit kira-kira 27 kilometer dari sini sekitar 1.30 petang Ahad.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Andrew dan berusia dalam lingkungan 50-an berasal dari Rumah Stephen, Nanga Dap dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin yang dihubungi memberitahu, sebelum kejadian mangsa menaiki sebuah lori dipandu rakan sekerja Buyu Muling, 41, untuk menghantar bahan-bahan binaan besi untuk projek pembinaan menara elektrik di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, semasa dalam perjalanan menuruni bukit, Buyu telah memberhentikan lori tersebut kerana terdapat sebuah lori lain yang dipercayai rosak menghalang laluan di bawah lereng bukit yang jaraknya kira-kira 50 meter.
Setelah mematikan enjin, menarik brek tangan dan menyendal tayar lori itu serta memasukkan gear bagi mengunci kenderaan agar tidak bergerak, Buyu pergi ke arah pemandu lori yang rosak untuk memberi bantuan.
Mangsa juga turut keluar daripada lori dan menuju ke lokasi sama tetapi pada masa yang sama lori yang mereka naiki tiba-tiba bergerak dan meluncur laju menuruni jalan tanah itu lalu melanggar tebing bukit.
"Lori tersebut terbalik lalu menghempap mangsa yang sedang berjalan dan menggilis serta mengheret mangsa ke bawah bukit dan seterusnya merempuh lori yang rosak mengakibatkan kedua-duanya terbalik," kata Benjamin.
Beliau berkata, siasatan lanjut kes itu dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit A. Rahman Chik ketika dihubungi berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota selepas menerima panggilan kejadian itu daripada Balai Polis Kanowit kira-kira 2.29 petang.
Pihaknya meminta bantuan syarikat yang membina menara elektrik itu untuk menyediakan jengkaut bagi mengalihkan lori tersebut supaya dapat mengeluarkan mayat mangsa dan operasi itu selesai pada jam 4.25 petang.
-- BERNAMA
#Kanowit #kemalangan #mangsa #maut #mayat #siasatan
;