Kelindan lori terlibat kemalangan dengan ambulans meninggal dunia
Adie Sufian Zulkefli
April 16, 2021 00:39 MYT
April 16, 2021 00:39 MYT
ALOR SETAR: Kelindan lori yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah ambulans membawa pesakit COVID-19, maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa yang berusia 56 tahun itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Manakala pemandu lori berusia 59 tahun parah dan masih menerima rawatan di Zon Merah HSB.
Katanya, dalam kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu lori tersebut gagal dikawal lalu berlanggar dengan ambulans terbabit di Kilometer 52.6, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah utara berdekatan Alor Setar.
“Kelindan parah akibat tercampak keluar terus dikejarkan ke hospital dengan ambulan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Fikri Ujang, kejadian itu berlaku ketika ambulans berkenaan yang turut dinaiki tiga petugas Kementerian Kesihatan termasuk pemandu, sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke HSB.
“Kesemua mereka terdiri daripada para petugas kementerian dan pesakit tersebut selamat dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi.
Ini merupakan kejadian kedua seumpamanya berlaku dalam tempoh seminggu selepas sebuah ambulan KKM yang membawa pesakit COVID-19, terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, 9 April lalu.