Kelewatan permit sukarkan proses hantar pulang mayat warga asing

Bernama
April 23, 2023 15:15 MYT
Pengarah Urusan KL Funeral Services, S. Paramasarathy berkata syarikatnya, kini berhadapan masalah mendapatkan permit pada hujung minggu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Syarikat yang menguruskan jenazah warga asing di ibu kota memohon supaya kerajaan mempermudahkan tatacara penghantaran mayat atau abu pembakaran mayat ke luar negara.
Pengarah Urusan KL Funeral Services, S. Paramasarathy berkata syarikatnya yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam urusan pengebumian dan penghantaran jenazah ke luar negara, kini berhadapan masalah mendapatkan permit pada hujung minggu.
Paramasarathy yang lebih dikenali sebagai Appu berkata sebelum ini permit mengenai urusan berkenaan di ibu negara dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beroperasi dari pagi hingga ke malam setiap hari.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sejak tahun lepas, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengambil alih tanggungjawab tersebut dan permit hanya dikeluarkan pada Isnin hingga hingga Khamis.
"Sebelum ini permit dikeluarkan sepanjang tujuh hari, sehingga tengah malam, tetapi sekarang ini cuma empat hari dalam seminggu sahaja, iaitu dari Isnin hingga Khamis," katanya kepada Bernama TV dalam temu bual khas, baru-baru ini.
Beliau berkata sekiranya terdapat kematian warga asing pada Jumaat hingga Ahad, mayat tidak dapat dihantar pulang pada Sabtu atau Ahad, sebaliknya perlu menunggu sehingga Isnin.
Appu berkata prosedur itu melambatkan proses dan menyebabkan pertambahan mayat di pusat pengurusan mayat milik syarikatnya di Jalan Klang Lama, di sini.
"Ia menyusahkan semua pihak, bukan sahaja untuk kami, tetapi juga pihak kedutaan, dan waris keluarga yang menunggu mayat di negara mereka. Lagipun kekerapan pesawat tidak seperti sebelum COVID-19.
''Kalau ada prosedur baharu, ia perlu ditambah baik untuk kebaikan semua pihak. Berapa mayat kami boleh simpan dan ahli keluarga di negara mereka pasti tunggu untuk menerima mayat itu untuk diuruskan mengikut adat masing-masing,'' katanya.
Beliau berkata jenazah warga asing yang beragama Islam perlu dihantar secepat mungkin ke negara asal mereka, namun kelewatan isu permit eksport menyebabkan ia terpaksa disimpan beberapa minggu sebelum dihantar.
Appu berkata pihaknya pernah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan dimaklumkan antara kekangan dihadapi termasuk kekurangan petugas.
Beliau mendakwa isu tersebut tidak timbul di negeri lain terutama di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Kuala Lumpur seterusnya berharap pihak Kementerian Kesihatan dapat memberi perhatian sewajarnya mengenai perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#Syarikat pengurusan jenazah #warga asing #tatacara penghantaran mayat #masalah permit
;