Kelesuan pandemik: Singkir degil dan ego, jangan sangka kebal - Pakar psikologi
Madiha Abdullah
Mei 8, 2021 14:32 MYT
Mei 8, 2021 14:32 MYT
KUALA LUMPUR: Jangan sangka diri kebal.
Itu nasihat pakar psikologi, Prof Datin Mariani Md Noor, yang mahu semua pihak menyedari impak tindakan masing-masing bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga orang lain.
Katanya, kesan psikologi akibat situasi yang dipanggil kelesuan pandemik merupakan punca ramai mula melanggar SOP, namun ia boleh dielakkan jika semua pihak sedar tanggungjawab yang digalas.
"Di sinilah kita memerlukan daya tahan emosi, jangan guna emosi untuk langgar SOP dan melampiaskan kemarahan. Saya tegaskan, tak kisah golongan marhaen atau 'kayangan', ramai yang patuh dengan SOP tetapi bila ada seorang dua yang tak ikut, ini yang menjadi masalah.
"Mereka yang patuh SOP akan terdorong untuk buat perkara sama (langgar SOP). Ini akan menyumbang kepada kenaikan angka kes sebab contoh teladan yang tak baik.
Impak terhadap psikologi akibat tidak dapat pulang beraya
"Sesiapa yang sering jadi contoh kepada masyarakat, perlu patuh semua yang ditetapkan MKN dan KKM. Kita semua barisan hadapan, jangan ego dan degil, jangan yakin prbuatan kita tak ada impak.
"Dalam psikologi kita sebut sebagai jangan ada sangkaan kekebalan, yang berpunca daripada sikap degil dan ego, yakin sedangkan apa yang dia buat bagi impak negatif kepada masyarakat," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Tambahnya, orang ramai perlu memfokuskan tenaga terhadap usaha menceriakan diri dan menyeimbangkan pemikiran positif dan negatif.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri, dan aktviti rentas negeri juga masih dilarang di seluruh negara, sekaligus menghalang sambutan Aidilfitri di kampung bersama keluarga tercinta.
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#rentas negeri
#PKP
#pandemik
#SOP
#Aidilfitri
#kelesuan pandemik