Kelestarian bukan diukur pada KDNK semata-mata - Timbalan Setiausaha Agung PBB
Israr Khalid
Ogos 9, 2022 05:00 MYT
Ogos 9, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kesejahteraan dan kelestarian sesebuah masyarakat itu tidak diukur pada perolehan kekayaan dalam bentuk wang atau material semata-mata, tapi merangkumi spektrum yang lebih luas.
Kata Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, kualiti hidup yang baik perlu turut menekankan aspek kesediaan pekerjaan, pendidikan, kesihatan, mobiliti dan rekreasi.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif UN-Habitat menegaskan, perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang selama ini menjadi penanda aras bukanlah penentu kepada pembentukan masyarakat yang bahagia dan membahagiakan.
“Mungkin dari segi KDNK itu tinggi tetapi akibat daripadanya (masyarakat) menjadi perosak kepada alam sekitar, itu sangat tidak baik.
“Sekarang ini orang melihat kepada “happiness,” bagaimana untuk hidup selesa dan lestari,” ujarnya.
Untuk itu, beliau melihat kelestarian hanya dapat dicapai apabila sesebuah masyarakat itu mempunyai pemimpin yang berani, di setiap peringkat dari yang tertinggi di dunia hinggalah ke tahap pemimpin komuniti.
Katanya, pandemik COVID-19 telah mengheret kita ke belakang dalam perjalanan menuju segala yang disasarkan dan perlunya ada pemimpin yang berwibawa untuk membawa masyarakat bersama melonjak mengatasi cabaran tersebut.
“Daripada kajian-kajian yang kita tengok, mungkin kita tak dapat mencapai apa yang kita ingin capai dalam Agenda Pembandaran Baharu dan Matlamat Pembangunan Mampan itu pada 2030 kalau kita bergerak pada kadar yang sama.
“Memang sukar untuk kita capai kesemua 17 matlamat yang kita gariskan pada 2015 itu, maka kita perlukan kepimpinan yang berani, komited dan transformatif,” jelas beliau.
Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Essan Yahya, di sini: