Kelengkapan di Pusat Kuarantin PPR Batu Putih rosak, tidak sedia terima lonjakan penghuni

Radhi Muslim
Ogos 19, 2021 08:48 MYT
Dengan kekurangan fasiliti sedia ada akibat kerosakan, Pusat Kuarantin PPR Batu Putih berdepan kesukaran sekiranya jumlah penghuni bertambah susulan peningkatan kes COVID-19 di daerah itu. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Selepas hampir dua tahun negara dilanda wabak COVID-19, terdapat pusat kuarantin yang sudah mengalami kerosakan peralatan dan kelengkapan.
Antaranya pusat kuarantin di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih, di sini.
Ketua Penyelaras pusat kuarantin berkenaan, Kepten Abdullah Sabaruddin berkata, peralatan yang mengalami kerosakan lebih kepada untuk kelengkapan atau keperluan penghuni pusat kuarantin tersebut.
“Untuk makluman pusat kuarantin PPR Batu Putih ini sebenarnya sudah dekat dua tahun beroperasi.
“Jadi ada peralatan-peralatan di dalam itu yang perlukan penggantian,” katanya ketika dihubungi, pada Khamis.
Menurutnya, peralatan yang selalunya digunakan ialah tilam, bantal, sarung bantal dan cadar.
“Oleh kerana peralatan ini dipakai berganti-ganti dan setiap kali bertukar penghuni biasanya akan disanitasi, dan kesan daripada sanitasi itulah yang menyebabkan peralatan ini mengalami susut nilai dan perlukan penggantian
“Jumlah yang diperlukan ialah dalam 200 ke 300 unit tilam serta set cadar dan bantal sekali,” katanya.
Pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkaitan dan setakat ini sudah menerima kira-kira 100 tilam baru.
Ketika ini jumlah penghuni di pusat kuarantin berkenaan di bawah seratus orang. Bagaimanapun lonjakan kes COVID-19 di Sabah membimbangkan pihaknya kemungkinan berlaku penambahan kehadiran penghuni secara tiba-tiba.
Pusat kuarantin berkenaan merupakan pusat kuarantin yang terbesar di Sabah dan boleh menempatkan sehingga 900 orang penghuni dalam satu-satu masa.
#COVID-19 #Sabah #pusat kuarantin #Sandakan #rosak