Kelemahan guru punca 60 peratus sekolah hadapi masalah KBAT

Harits Asyraf Hasnan
November 8, 2017 12:42 MYT
Kamalanathan memaklumkan 60 sekolah di bawah tahap baik dan cemerlang dalam pentaksiran amalan KBAT adalah berpunca daripada kelemahan guru
Penerimaan dan pemahaman guru antara punca 169 buah sekolah berada di bawah tahap baik dan cemerlang hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata statistik itu mewakili 60 peratus daripada 282 buah sekolah rendah dan menengah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
"Dalam 282 sekolah hanya 40 peratus sekolah ini telah mencapai tahap baik dan cemerlang sementara 60 peratus sekolah masih ada masalah (berada di bawah tahap baik).
"Hasil penilaian mendapati, masalah ini berpunca daripada penerimaan dan pemahaman guru-guru dan proses ini (menambah baik) sedang berlangsung sekarang. Guru-guru sedang dilatih, bukan sahaja melalui Kementerian Pendidikan malah melalui tenaga pengajar," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tambah Kamalanathan, para guru yang telah dilatih dan dapat memahami budaya KBAT akan menjadi duta kementerian untuk memaklumkan kepada guru-guru lain serta cara untuk mengaplikasikannya.
Bagaimanapun katanya, para guru dari sekolah berkenaan juga sedang dibimbing menerusi ini inisiatif SIP+ dan SISC+.
Sementara itu, penilaian pelaksanaan KBAT dalam pentaksiran hanya dapat dilaksanakan sebaik sahaja analisis keputusan UPSR tahun 2017 diperoleh dengan membandingkan pencapaian calon berdasaran pertimbangan terhadap kualiti, ketekalan, ketepatan, keadilan dan bukannya membuat perbandingan dengan keputusan UPSR tahun lalu.
Jelasnya, keputusan dan prestasi UPSR tahun 2016 tidak boleh dijadikan perbandingan dengan keputusan UPSR bagi tahun-tahun sebelumnya kerana format serta instrument yang digunakan adalah berdasarkan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
#calon #guru #Jaminan Kualiti #Jemaah Nazir #KBAT #Kemahiran Berfikir Aras Tinggi #Kementerian Pendidikan #KSSR #p kamalanathan #pendidikan #sekolah #UPSR
;