Keldai akaun: Penglibatan pelajar IPT secara tidak sengaja, ditipu sindiket - KPN

Bernama
Ogos 15, 2024 14:51 MYT
Razarudin berkata pihaknya percaya pelajar berkenaan juga tidak memahami tujuan akaun mereka diminta ketika memberi kebenaran untuk akaun mereka digunakan. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pemilik keldai akaun disebabkan mereka turut menjadi mangsa penipuan sehingga akaun bank mereka digunakan sindiket.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya percaya pelajar berkenaan juga tidak memahami tujuan akaun mereka diminta ketika memberi kebenaran untuk akaun mereka digunakan.
"Kita percaya pelajar ini pun kena scam, bukan sengaja memberi nombor akaun mereka kepada sindiket terbabit.
Pelajar-pelajar ini tidak faham sebenarnya akaun mereka dijadikan keldai akaun," katanya ketika mengulas laporan terdapat 208,000 keldai akaun di negara ini di mana sebahagiannya adalah milik pelajar.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kali Kesembilan 2024 di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan pihaknya mengenal pasti kira-kira 208,000 keldai akaun di negara ini.
Menurut Ramli berdasarkan semakan rekod dibuat pihak berkuasa itu, didapati sebahagian daripada jumlah keldai akaun itu adalah milik pelajar.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata polis mengesan kes membabitkan penuntut IPT memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian menggunakan akaun bank mereka.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di Penjara Tapah, Jumaat lalu.
Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu kecuali beberapa individu telah dipanggil bagi dirakam keterangan.
Pada 9 Ogos lepas, pihak berkuasa mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke dalam sebuah penjara di Tapah selepas seorang kakitangan penjara menemui satu beg digantung pada dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok di penjara tersebut.
Menurut polis di dalam beg tersebut terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 12.9 gram.
-- BERNAMA
#keldai akaun #IPT #penipuan dalam talian #JSJK