Kelayakan akademik penting, teladan untuk rakyat - Fahmi
Bernama
Jun 22, 2024 07:15 MYT
Jun 22, 2024 07:15 MYT
NIBONG TEBAL: Menidakkan kelayakan akademik dalam politik ibarat tidak menitikberatkan ilmu dan calon pilihan raya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dalam mengangkat atau memartabatkan ilmu.
Ringkasan AI
- Kepentingan kelayakan akademik untuk calon pilihan raya sebagai contoh baik kepada masyarakat, berbeza dengan pandangan PN bahawa kelulusan akademik bukan penentu kecemerlangan pemimpin.
- Isu timbul mengenai calon PN Abidin Ismail yang hanya memiliki sijil ISO 14001 berbanding calon PH Dr Joohari Ariffin yang mempunyai ijazah doktor falsafah.
- Fahmi juga meminta Komuniti MADANI melaksanakan program saringan kesihatan di setiap kawasan DUN untuk mengesan penyakit serius pada peringkat awal dan meningkatkan kesedaran kesihatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kelayakan akademik merupakan aspek penting untuk calon yang bertanding dan menyifatkan kelayakan itu sebagai 'jambatan' yang akan menentukan masa depan lebih baik untuk rakyat.
"Menjadi pemimpin (calon pilihan raya) bermaksud kita sering kali dibandingkan atau menjadi contoh dalam komuniti. Maka seharusnya jadilah contoh dan pendidik yang baik kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyantuni pesakit angin ahmar Wan Khairul Afiznaz Wan Ishak, 45, sempena program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat, di sini, pada Sabtu.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelulusan akademik bukanlah kayu pengukur kepada kecemerlangan pemimpin politik.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah membuat kenyataan itu pada sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di sini semalam.
Hal itu susulan isu calon PN Abidin Ismail yang didakwa hanya memiliki sijil ISO 14001 Bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar berbanding lawannya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang merupakan pemegang ijazah doktor falsafah.
"Saya lihat ramai netizen bertanyakan tentang kelayakan ISO (calon PN) ini malah ada yang bertanya tempat kerja beliau, tetapi bagi saya kita nak tahu idea-idea yang ingin diutarakan beliau untuk penduduk Sungai Bakap," kata Fahmi.
PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meminta Komuniti MADANI supaya mempertimbangkan pelaksanaan program saringan kesihatan di setiap kawasan DUN agar lebih ramai anggota masyarakat dapat mengesan penyakit serius pada peringkat awal.
Mengambil contoh Pulau Pinang, beliau berkata, terdapat sebanyak 120 Komuniti MADANI di negeri itu setakat ini, justeru kewujudannya perlu dimanfaatkan untuk menyebarluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
"Saya minta supaya Komuniti MADANI mempertimbangkan program saringan kesihatan yang ringkas dan mudah, bukan berskala besar tapi mungkin melibatkan pengamal perubatan am (GP), doktor, sukarelawan untuk memberi khidmat nasihat asas dalam komuniti," katanya.
Komuniti MADANI diwujudkan sebagai badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.
- BERNAMA