Kelas teori kursus memandu dicadang diserap dalam kurikulum sekolah

Madiha Abdullah
Februari 28, 2019 13:28 MYT
Anthony ditemui di majlis pelancaran kerjasama pintar Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
Kementerian Pengangkutan mencadangkan agar kelas teori kursus memandu diintegrasikan ke dalam kurikulum persekolahan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, hal itu dilihat lebih praktikal terutama dalam kalangan remaja, berbanding dengan mengambil kelas berasingan di pusat latihan memandu.
"Mereka yang menjalani kursus memandu perlu mengambil kelas teori selama enam jam berkenaan undang-undang jalan raya sebelum mengambil ujian. Jadi saya memikirkan satu cara jika kelas teori ini boleh diterapkan di peringkat sekolah.
"Saya rasa ini lebih menarik bagi pelajar, jadi mereka tidak perlulah duduk enam jam dalam kelas selama satu hari. Lagipun tempoh enam jam untuk belajar dan memahami semua undang-undang, ia kurang praktikal," katanya.
Bagaimanapun jika ia dilaksanakan, ujian untuk kelas teori berkenaan masih perlu diduduki di pusat memandu.
Buat masa ini, kelas teori selama enam jam perlu dihadiri sebelum dibenarkan menduduki ujian, dan seterusnya menjalani latihan memandu.
Dalam reaksinya, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, menyambut baik cadangan tersebut dan akan menyerahkan kepada jawatankuasa kajian dasar untuk membuat penilaian.
"Kita mengalu-alukan idea yang kreatif dan inovatif seperti yang dikemukakan YB Loke, dan cadangan itu akan dibawa kepada jawatankuasa kajian," kata Maszlee.
Mereka ditemui selepas majlis pelancaran kerjasama pintar Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, pada Khamis.
Inisiatif yang bermula pada 2007 itu menjalani semakan semula pada 2016, yang berjaya menghasilkan modul PKJR Semakan Sekolah Rendah yang selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Ia telah mula diajar di semua sekolah rendah di seluruh negara bermula tahun ini.
#Anthony Loke #jalan raya #kelas memandu #Kementerian Pendidikan #Kementerian Pengangkutan #keselamatan #Maszlee Malik #pelajar #pendidikan #remaja #sekolah #undang-undang
;