Kelar anak: 'Suspek kerap termenung, dengar bisikan' - Suami
Bernama
Jun 18, 2018 13:06 MYT
Jun 18, 2018 13:06 MYT
Wanita berusia 31 tahun yang didakwa mengelar leher anaknya sehingga maut semalam, didakwa sering termenung dan mendengar suara orang berbisik kepadanya sejak Mei lalu.
Suaminya berkata mereka juga sepatutnya keluar berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam di rumah kakaknya di Jengka pada 9 malam semalam, namun peristiwa tragis itu berlaku lebih awal.
Beliau yang berusia 42 tahun dan bekerja sendiri menambah, sempat menidurkan mangsa, anak bongsunya yang berusia setahun tujuh bulan di ruang tamu rumahnya di Felda Jengka 13 di sini, sebelum kejadian berlaku.
"Saya menidurkan anak sambil menonton perlawanan bola sepak di televisyen manakala isteri berada di dalam bilik tidur kerana mengaji selepas selesai menunaikan solat maghrib.
"Memang menjadi kebiasaan, saya akan menidurkan anak dan isteri akan membawa anak masuk ke bilik selepas solat. Saya berasa curiga apabila mendengar suara rengekan anak kerana setahu saya, dia sudah tidur.
"Saya terus ke bilik dan nampak isteri sedang mengelar leher anak. Saya tolak isteri dan menjerit meminta tolong...Isteri hanya memandang sahaja semasa saya mengambil anak yang berlumuran darah," katanya kepada pemberita di perkarangan Hospital Jengka di sini, hari ini.
Beliau menambah seorang daripada jirannya membantu beliau menghantar anak ke Hospital Jengka, namun dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.
Sebelum bertolak ke hospital, beliau meminta tolong adiknya yang sedang bercuti raya di rumah keluarga mereka yang terletak berhampiran untuk menjaga isterinya yang dilihat masih terpinga-pinga, katanya.
"Saya bersyukur dua lagi anak lelaki berusia tujuh dan lima tahun tidak berada di rumah kerana mengikut datuknya beraya ke Triang. Jika tidak pasti mereka trauma melihat kejadian itu.
"Anak kini berada di bawah jagaan adik kerana saya tidak mahu mereka pulang ke rumah. Jika tidak pasti mereka akan mencari ibu dan adik mereka, terutamanya anak kedua kerana mereka begitu rapat," katanya.
Suami mangsa menambah dimaklumkan oleh adiknya bahawa isterinya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan telah ditahan polis malam semalam, semasa beliau masih berada di hospital.
Katanya, dia telah ke balai polis untuk bertemu isterinya pada awal pagi ini, dan mendakwa isterinya masih tidak mengetahui kejadian yang telah berlaku dan banyak mendiamkan diri.
"Dia tanya kenapa sambil memandang gari di tangannya. Tapi dia langsung tidak bertanya tentang anak-anak. Sedangkan sebelum ini, anak memang rapat dengannya kerana isteri tidak bekerja.
"Dia juga memang manjakan anak-anak...kalau saya marah anak, dia akan marah saya semula. Memang tak jangka kejadian begini boleh berlaku pada keluarga saya kerana isteri saya seorang ibu yang penyayang," katanya.
Beliau menambah jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 13 hari ini, selepas selesai bedah siasat.
Polis hari ini mengesahkan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas disyaki mengelar leher anaknya sehingga maut pada 8.40 malam semalam, di sebuah rumah di Jengka. -- Bernama