Kelapa untuk majlis tahlil arwah ayah bertukar jadi majlis tahlil sendiri

Sharom Abu Bakar
Disember 29, 2017 07:35 MYT
Khairunnisa Salem tidak menyangka suaminya memanjat sendiri pokok kelapa untuk digunakan bagi majlis tahlil dan cukur jambul. - foto Astro AWANI
Siapa sangka niat seorang anak yang keluar bagi memetik kelapa untuk tahlil arwah ayahnya, akhirnya bertukar menjadi majlis tahlilnya sendiri.
Mangsa Mohd Fariq Fyrdaus Harun, 30 tahun, maut selepas terjatuh dari ketinggian 40 meter ketika memanjat sebatang pokok kelapa di Kampung Rantau Abang, Dungun.
Isteri mangsa Khairunnisa Salem, 29 tahun memberitahu, suaminya memetik kelapa untuk digunakan bagi majlis tahlil dan cukur jambul anak bongsu mereka yang berusia 29 hari.
'Niatnya malam ni nak buat tahlil arwah ayah dia (mangsa) dan cukur jambul anak bongsu jadi sebab itu dia keluar petik kelapa agaknya.
''Saya tak tahu dia petik kelapa sebab tidak dimaklumkan. Saya ingat dia pergi rumah adik-beradik lain untuk sembelih ayam sebab memang kami rancang nak buat lauk ayam kampung,' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ujarnya, kematian suaminya itu juga hanya diketahui selepas ahli keluarga meminta kad pengenalan Allahyarham untuk tujuan dokumentasi.
Mangsa dikatakan tergelincir ketika memanjat pokok berkenaan sekitar jam 11.00 pagi.
Orang ramai dilokasi insiden segera membantu menghantar mangsa ke Hospital Dungun bagi mendapatkan rawatan.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun , ACP Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#cukur jambul #Dungun #jatuh pokok kelapa #majlis tahlil #mati #mati jatuh pokok #meninggal dunia #pengorbanan bapa #petik kelapa #Rantau Abang