Kelantan waspada susulan virus Zika di Thailand

Muhafandi Muhamad
Mei 15, 2016 17:23 MYT
Sebagai negeri yang bersempadan dengan Thailand, langkah berjaga-jaga dilakukan bagi mengekang kemasukan virus itu ke negeri ini. -Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Kelantan mengambil langkah berwaspada termasuk melakukan saringan ke atas pelancong asing terutama dari negara Afrika dan Amerika Selatan yang memasuki negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher memaklumkan kebimbangan ini berasaskan laporan virus Zika dikesan di Thailand.
Sebagai negeri yang bersempadan dengan Thailand, langkah pemantauan dan berjaga-jaga dilakukan bagi mengekang kemasukan virus berkenaan ke negeri ini.
"Kita kena membuat saringan mereka yang pergi melancong atau pelawat dari Afrika dan Amerika Selatan.
Kalau mereka datang ke sini, kemungkinan itu boleh membawa kuman Zika itu kerana kita ada vektor nyamuk itu dan tempat ini kemungkinan berisiko kerana setakat ini Thailand dilaporkan terdapat satu kes namun tidak pasti kawasan mana," katanya selepas Majlis Gotong Royong Perdana Peringkat Daerah Machang, di sini.
Dr Ahmad Razin menjelaskan, sehingga kini tiada kes virus Zika di kesan di negeri ini.
Pemantauan dilakukan di semua pintu masuk ke negeri ini melibatkan pelancong asing dari benua Amerika.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kes denggi di Kelantan tidak menunjukkan trend meningkat sepanjang awal Januari hingga Mei tahun ini.
Dr Ahmad Razin menjelaskan sepanjang tempoh berkenaan, sejumlah 1,800 kes dilaporkan melibatkan satu kematian.
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan, kes denggi menunjukkan penurunan dari 50 kes kepada 25 kes seminggu yang dilaporkan.
Bagaimanapun, beliau menasihati rakyat Kelantan supaya mengambil langkah menjaga kebersihan serta memastikan tiada takungan air yang terdedah sepanjang musim panas.
Ia tertumpu di daerah Kota Bharu yang telah mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu.
#Ahmad Razin #Jabatan Kesihatan Kelantan #saringan ke atas pelancong #virus Zika
;