Kelantan ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Surin
Bernama
November 30, 2017 04:24 MYT
November 30, 2017 04:24 MYT
Kerajaan Kelantan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Surin Pitsuwan, bekas Setiausaha Agung ASEAN yang meninggal dunia kira-kira 3 petang Khamis (waktu tempatan) akibat kegagalan jantung.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata jasa dan sumbangan Allahyarham Surin dalam mencorakkan hubungan diplomatik di rantau Asia Tenggara terlalu besar terutama sewaktu menerajui ASEAN.
"Allahyarham juga merupakan tokoh diplomat Muslim yang disegani di peringkat global. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham bersama para hambaNya yang soleh," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Ahli politik tersohor Thailand berusia 68 tahun itu rebah ketika sedang bersiap untuk menghadiri majlis Perhimpunan Halal Thailand 2017 dan dibawa ke Hospital Ramkhamhaeng sebelum disahkan meninggal dunia.
Surin pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Thailand dari 1992 hingga 1995 dan kemudian dilantik Menteri Luar dari 1997 hingga 2001 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Chuan Leekpai dan tujuh tahun selepas itu, pada 1 Jan 2008, beliau dinamakan sebagai Setiausaha Agung ASEAN.
Surin, yang beragama Islam, dilahirkan pada 28 Okt 1949 di daerah Muang, Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand. Beliau berkelulusan dalam bidang sains politik dari Claremont College, California pada 1972 serta memperoleh ijazah Sarjana daripada Harvard University.
-- BERNAMA