Kelantan tolak wang ihsan sebagai bayaran royalti - Mohd Amar
Muhafandi Muhamad
Oktober 15, 2019 17:00 MYT
Oktober 15, 2019 17:00 MYT
Kerajaan Kelantan tetap tidak menerima pembayaran wang ihsan yang disalurkan baru-baru ini oleh Kerajaan Persekutuan sebagai bayaran wang royalti.
Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berdasarkan janji dan keputusan Majlis Kewangan Negara, Kelantan layak menerima wang royalti seperti yang dituntut sebelum ini.
Bagaimanapun Kerajaan Negeri akan hanya menerima pemberian wang ihsan yang disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri dan bukannya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, MAIK seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebelum ini.
“Wang ihsan ini kita terima tapi bukan royalti. Nama pun wang ihsan. Wang ihsan ni kalau orang nak bagi dia bagi, dia tak nak bagi dia tak bagi. Memang tidak sama, saya tidak ingat dengan detail, dua kali telah terima. 2019, RM15 juta, terbaharu jumlah tahun ni RM28 juta,” kata ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Pusat telah membayar wang royalti kepada Kelantan.
Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan akan terus dan tetap menuntut wang royalti dari Kerajaan Persekutuan berjumlah RM12 bilion bermula tahun 2009 hingga kini atau lima peratus dari pengeluaran hasil petroleum dan gas di kawasan tuntutan itu.
#Islam
#Kelantan
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#Menteri Besar
#Mohd Amar Nik Abdullah
#royalti
#wang ihsan