Kelantan tidak halang pihak luar bantu keluarga daif - Mohd Amar
Bernama
Ogos 4, 2022 14:19 MYT
Ogos 4, 2022 14:19 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat daif dan miskin di negeri itu terutama kisah yang tular menerusi media sosial.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pihak terlibat untuk berbuat baik kepada rakyat di negeri ini malah tindakan itu juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan Kelantan.
Beliau bagaimanapun berharap pihak yang ingin menyalurkan bantuan agar menyelidik serta meneliti terlebih dahulu mengenai individu mahupun keluarga yang ingin dibantu bagi mengelak sebarang perkara tidak sahih.
"Kita tidak halang mana-mana pihak untuk berbuat baik membantu masyarakat tetapi jangan disebabkan bantuan yang disalurkan itu masyarakat menghentam kerajaan negeri serta pemimpin (kononnya tidak cakna)... itu tidak boleh.
"Kalau rakyat mahu kritik (kerajaan negeri), kritik mengikut kematangan tetapi jangan disebabkan seseorang menyalurkan bantuan, kita tidak nampak kebaikan yang dibuat oleh orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Kelantan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub, barisan Exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai gambar tular seorang warga emas bersama isteri serta anaknya yang mengutip barangan lusuh menggunakan kereta tolak di Tumpat, dekat sini, sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama netizen.
Kejadian tular itu turut menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat menerima tempias kononnya tidak cakna dengan masyarakat setempat sedangkan keluarga itu telah menerima pelbagai bantuan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan rumah sumbangan kerajaan Persekutuan sejak 12 tahun lepas. - BERNAMA