Kelantan tidak campur tangan siasatan enam rakyat Malaysia miliki dadah di Thailand
Bernama
November 4, 2024 17:57 MYT
November 4, 2024 17:57 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak campur tangan dalam siasatan terhadap enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita dari Kelantan yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, Jumaat lepas.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Kelantan tidak campur tangan dalam siasatan terhadap enam rakyat Malaysia, termasuk seorang artis wanita dari Kelantan, yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Sungai Golok.
- Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, berharap kes ini menjadi pengajaran kepada rakyat Kelantan untuk menjaga tingkah laku, terutama bagi individu yang dikenali ramai.
- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan penahanan enam individu tersebut, yang melibatkan penemuan kira-kira 6,000 biji pil kuda, dan mereka kini dalam tindakan lanjut oleh pihak berkuasa Thailand.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kes berkenaan diharap dapat menjadi pengajaran buat semua kerana ia membabitkan individu dikenali ramai.
"Kes ini boleh dijadikan pengajaran terutamanya kepada rakyat Kelantan untuk sentiasa berjaga-jaga dan menjaga tingkah laku, terutamanya apabila kita ada nama, berikan contoh teladan yang baik," katanya.
Mohamed Fadzli berkata beliau telah meminta agensi penguatkuasaan untuk mempertingkatkan kawalan dan kerjasama bagi memastikan kemasukan dadah sama ada dari dalam atau luar negara dapat disekat.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada 6 pagi, Jumaat.
Tangkapan enam individu itu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan turut menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.
Dilaporkan dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
-- BERNAMA