Kelantan tidak akan tutup pusat tahfiz - Timbalan MB

Muhafandi Muhamad
September 24, 2017 17:05 MYT
MOHD AMAR: "Sepatutnya kerajaan perlu beri perhatian kepada penubuhan pusat tahfiz. Kalau kerajaan boleh sediakan, orang tak akan pergi ke swasta." - Gambar fail
Kerajaan negeri Kelantan tidak akan menutup pusat tahfiz dan pondok pengajian agama walaupun premis itu tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) atau dianggap tidak selamat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tiada sebab untuk bertindak menutup pusat pengajian berkenaan semata-mata berdasarkan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Usaha untuk meningkatkan aspek keselamatan itu bagus, tetapi tidak patut sampai menutup (pusat tahfiz atau sekolah pondok).
"Sebabnya, saya sudah sebutkan dari awal, sepatutnya kerajaan perlu beri perhatian kepada penubuhan pusat tahfiz. Kalau kerajaan boleh sediakan, orang tak akan pergi ke swasta, orang lain pun tak akan tubuhkan (pusat sendiri).
"Kena bantu. Tutup bukan selesai masalah,” katanya.
Tambah Mohd Amar, walaupun kelemahan dari aspek keselamatan pencegahan kebakaran tidak diberi perhatian oleh pengusaha pusat tahfiz dan juga pondok sekolah agama seperti yang dilaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), kerajaan seharusnya membantu menyalurkan peruntukan untuk mereka.
Di Kelantan, lebih 50 pusat tahfiz Al Quran di dakwa tidak mempunyai ciri keselamatan pencegahan kebakaran termasuk tidak mempunyai CF.
Manakala, lebih 150 buah pondok pengajian agama persendirian yang juga senasib memerlukan penambahbaikan dan perhatian dari kerajaan persekutuan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan pusat tahfiz yang gagal mematuhi peraturan keselamatan diberi tempoh untuk mempertingkatkan aspek itu atau diarah menghentikan operasi jika terus mengabaikannya.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan tragedi yang menimpa pusat itu tidak berulang.
Katanya, kabinet juga memutuskan supaya JBPM memeriksa semua pusat tahfiz di seluruh negara untuk memastikan keselamatan pusat itu mencapai piawaian yang ditetapkan.
#Datuk Mohd Amar Nik Abdullah #Najib Razak #Sijil Layak Menduduki #Tahfiz Sarul Quran Ittifaqiyah
;