Kelantan tetap laksana pelarasan tarif air - Mohd Nassuruddin
Bernama
Februari 5, 2024 19:35 MYT
Februari 5, 2024 19:35 MYT
PASIR MAS: Kerajaan Kelantan tetap melaksanakan pelarasan tarif air di negeri itu yang akan memberikan kebaikan kepada rakyat selain ia turut dilaksanakan di seluruh negara.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata langkah itu diambil selaras dengan pengumuman oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan ia sudah dipersetujui.
“Kenaikan ini di seluruh negara dan bukan melibatkan Kelantan sahaja. Itu sahaja jawapan saya kepada persoalan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis solat hajat bersama lebih 500 penduduk di Jambatan Tendong di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Nassuruddin bersama lebih 500 penduduk menunaikan solat hajat yang diimamkan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan Wazir Che Awang di atas Jambatan Tendong iaitu lokasi yang dikatakan kerap berlaku kejadian terjun ke dalam sungai bunuh diri.
-- BERNAMA