Kelantan terus pulihara kesan tinggalan Perang Dunia Kedua - Exco
Bernama
Ogos 14, 2022 11:40 MYT
Ogos 14, 2022 11:40 MYT
PASIR PUTEH: Kelantan akan terus memulihara kesan tinggalan sejarah berkaitan kemerdekaan dan perang dunia kedua yang terdapat di negeri itu, kata Pengerusi Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi seperti kubu yang dibina tentera British di Kuala Gel, Bachok dan tapak warisan lain di semua jajahan.
"Selain memulihara kawasan tersebut, kami juga akan menjadikan lokasi itu sebagai tarikan pelancongan yang baharu untuk menarik minat pengunjung.
"Kami akan baik pulih seperti kubu-kubu tinggalan sejarah ini dengan kerjasama Jabatan Muzium negeri kerana mahu kekalkan warisan yang ada supaya rakyat dapat mengenali sejarah di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Parlimen Pasir Puteh, di sini semalam, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Mengulas lanjut, Md Anizam berkata selain pemuliharaan warisan, nama tokoh turut diabadikan di tempat asal kelahiran mereka seperti bandar Pasir Puteh yang akan diwartakan sebagai bandar Tok Janggut.
"Pihak berkuasa tempatan telah membuat permohonan itu di peringkat jajahan dan akan diangkat untuk proses mewartakan nama berkenaan di peringkat kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata pelbagai acara kesenian dan kebudayaan berkonsepkan pertandingan dan persembahan akan diteruskan di setiap DUN di Pasir Puteh seperti pertandingan kambing jangok (cantik), pertandingan ayam serama dan pertunjukan kereta dan motosikal klasik.
"Melalui program ini kami harap dapat satukan semua bangsa dan agama, orang muda dan tua supaya terjalin hubungan yang erat," katanya.
-- BERNAMA