Kelantan terima peruntukan KKLW kedua tertinggi - Ismail Sabri

Vivi Sumanti
Mac 17, 2018 12:07 MYT
ISMAIL SABRI: Kelantan menerima peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) kedua tertinggi selepas Pahang. -Astro AWANI
Kelantan menerima peruntukan kedua tertinggi daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) selepas Pahang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kelantan menerima peruntukan sejumlah RM265 juta tahun ini, meningkat lebih lima peratus berbanding tahun lepas.
Peruntukan tersebut antara lain melibatkan empat projek pembinaan jalan luar bandar dengan kos RM68 juta; projek bekalan elektrik luar bandar dengan kos RM5.4 juta, RM100 juta untuk projek lampu jalan kampung; dan empat projek bekalan air bersih luar bandar (BALB) dengan peruntukan RM42 juta.
Selain itu, projek kecil BALB dengan kos RM11.2 juta, projek bekalan air di Machang dengan kos RM9.5 juta, dan pembinaan telaga tiub serta pembinaan tangki air Temangan-Machang membabitkan kos RM15 juta.
Tambah Ismail Sabri, peruntukan KKLW itu membuktikan negeri ini tidak dianaktirikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis lawatan tapak projek pembinaan telaga tiub tangki air menara dan pemasangan paip di Temangan di sini hari ini.
#BALB #bekalan air bersih luar bandar #ismail sabri yaakob #KKLW #Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah #projek bekalan air
;