Kelantan tawar program pemutihan bagi pasangan bernikah di luar negara sebelum 2005
Muhafandi Muhamad
November 14, 2021 12:34 MYT
November 14, 2021 12:34 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meluluskan program pemutihan pernikahan bagi pasangan yang melangsungkan pernikahan luar negara sebelum tahun 2005.
Pasangan yang melangsungkan perkahwinan di luar negara, khasnya selatan Thailand, diminta tampil untuk mengesahkan pernikahan dengan tawaran denda yang berpatutan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusof berkata program pemutihan itu dilaksanakan kerana terdapat ramai bilangan anak tidak sah taraf dengan pernikahan yang tidak didaftarkan secara sah.
"Kerajaan bersetuju supaya mana-mana perkahwinan sebelum tahun 2005 dapat diberi tumpuan dan kita boleh terima apabila syarat dipenuhi.
"Tidak perlu runsing tentang denda kerana kita akan uruskan dengan BSK (biro sokongan keluarga), manakala kalau didenda RM2,000, kita bincang dengan Ketua Hakim Syarie," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, pagi tadi.
Program pemutihan itu diluluskan oleh kerajaan negeri pada Jun lepas bagi memastikan soal kebajikan anak-anak pasangan terbabit terjamin.
Ia memandangkan banyak kes melibatkan anak yang tidak mempunyai sijil lahir dan dinafikan hak harta pusaka, selain tidak dapat bersekolah disebabkan pernikahan ibu bapa yang tidak didaftar.
Che Mohd Rahim berkata, selain itu juga perkara ini boleh menjurus kepada masalah sosial jika tidak ditangani dengan baik.
Beliau menjelaskan, program pemutihan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini.
Bagi kes pernikahan selepas tahun 2005, ia boleh dipertimbangkan asalkan menepati syarat yang ditetapkan.
Mereka yang ingin mendaftarkan perkahwinan itu boleh mendaftar di pejabat agama daerah seluruh Kelantan.