Kelantan sudah sedia hadapi Monsun Timur Laut
Bernama
November 4, 2024 22:15 MYT
November 4, 2024 22:15 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bakal berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok hingga Mac 2025.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pengalaman berdepan 'bah kuning' pada 2014 banyak memberi pengajaran kepada kerajaan negeri untuk sentiasa siap siaga dengan perancangan awal walaupun terdapat andaian mengatakan tahun ini mungkin berlaku banjir besar seperti 10 tahun lepas.
"Kalau dulu orang sering mengatakan Kelantan sahaja yang banjir, negeri lain tidak banjir tetapi bila kita tengok cuaca sekarang tidak menentu.
“Justeru, saya ingin nasihatkan kepada masyarakat terutamanya rakyat negeri ini untuk tidak beriadah di tempat berisiko termasuk air terjun, sungai dan lata semasa musim MTL," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan program Invest@Kelantan Forum & Expo (INFEX 2024) di sini hari ini
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 Nov dan berterusan hingga Mac 2025.
Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata sekiranya luluran monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain.
-- BERNAMA