Kelantan sedia hadapi banjir - Menteri Besar
Wanna Abd Rahim
September 25, 2022 14:18 MYT
September 25, 2022 14:18 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sudah melakukan persediaan dalam menghadapi kemungkinan banjir selepas memasuki peralihan Monsun Timur Laut pada November ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, persiapan awal sudah dilakukan termasuk menubuhkan jawatankuasa bencana negeri.
"Kerajaan Kelantan sudah menubuhkan jawatankuasa bencana negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir selepas memasuki peralihan Monsun Timur Laut.
"Setiap jajahan telah diminta untuk membuat baik pulih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) aktif yang telah dikenal pasti memerlukan pembaikan bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) di sini, pagi tadi.
Ahmad berkata, dari segi persiapan tempat, sebanyak 442 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan jumlah kapasiti 170,180 bersedia dibuka sekiranya berlaku bencana banjir.
"Pada pengalaman yang lalu, kita sentiasa melihat di mana kekurangan kita. Sebab itu walaupun besar berlaku sebelum ini pun kita tidak berlaku kematian ramai, kerana rakyat kita sudah pun bersedia. Kita di Kelantan ini sudah bersedia. Walau bagaimanapun, kita harap persediaan tu lebih awal oleh semua pihak. Terutama PPS ini.
"Kita juga mendapat arahan daripada pihak Pusat supaya bersedia awal-awal lagi. Memandangkan ramalan dikatakan kemungkinan berlaku banjir besar. Bagaimanapun persiapan itu sudah dibuat," katanya lagi.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Kelantan telah memaklumkan Monsun Timur Laut dijangka akan bermula sekitar bulan November 2022.
Dalam perkembangan lain, menjawab persoalan berhubung sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat iaitu pada bulan November (musim banjir), Ahmad berkata, kerajaan akan menghadapi segala kemungkinan yang berlaku.
"Kalau sudah terlibat, kena pindahkan mangsa-mangsa dan rakyat yang nak mengundi, perkara itu memang akan berlaku kesulitanlah. Namun, kita akan bersedia menghadapinya. Mesti banyak bersabar," katanya lagi.