Kelantan sasar vaksinasi Orang Asli di pedalaman selesai sebelum musim tengkujuh

Muhafandi Muhamad
Jun 14, 2021 09:03 MYT
DR ZAINI: Program vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli di pedalaman Kelantan akan cuba diselesaikan sebelum kedatangan musim tengkujuh akhir September depan. -Gambar fail
KOTA BHARU: Program vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli di pedalaman Kelantan akan cuba diselesaikan sebelum kedatangan musim tengkujuh akhir September depan.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata program pemberian suntikan akan dilakukan di penempatan dan Pos Orang Asli di pedalaman dengan menghantar kumpulan petugas menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Pemberian suntikan perlu diselesaikan sebelum kedatangan musim tengkujuh bagi mengelakkan berlaku kesulitan termasuk jalan yang terputus hubungan akibat banjir atau tidak boleh dilalui.
"Kita cuba selesaikan sebelum musim tengkujuh, pada September atau Oktober, untuk elak musim banjir, dengan syarat bekalan vaksin mencukupi," kata Dr Zaini.
Zaini berkata setakat ini pihaknya memutuskan hanya penggunaan 4WD pilihan untuk memasuki penempatan masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
Program outreach vaksin untuk masyarakat Orang Asli di Jeli dan Gua Musang sudah dimulakan minggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan.
Sementara itu, sehingga semalam, lebih 140,000 rakyat Kelantan sudah menerima suntikan dos pertama vaksin di pusat penerimaan vaksin (PPV) di seluruh negeri itu.
Sejumlah 41.9 peratus atau lebih 500,000 rakyat Kelantan sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin setakat ini.
#program vaksinasi #Orang Asli #vaksin #PPV #banjir #tengkujuh #Zaini Hussin #MySejahtera #Gua Musang #4WD #pedalaman
;