Kelantan sasar kehadiran satu juta pelancong tahun ini
Bernama
April 29, 2022 13:12 MYT
April 29, 2022 13:12 MYT
KOTA BHARU: Kelantan menyasarkan ketibaan satu juta pelancong tempatan dan antarabangsa ke negeri itu pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata sasaran itu ditetapkan selepas negara dilihat sedang memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik sejak 1 April lepas.
"Dengan kehadiran ramai orang, kerajaan negeri yakin ia dapat memulihkan sektor pelancongan selepas dua tahun terkesan akibat penularan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Bersama Media di Kota Darul Naim, di sini malam tadi.
Beliau berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai apabila seluruh sektor telah dibuka.
"Ketika ini kita dapat melihat semua hotel di Kelantan yang sebelum ini terkesan dengan COVID-19 sudah mulai penuh dengan tempahan para pelancong.
"Kita berharap pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dapat dibuka dalam masa terdekat sekaligus membolehkan pelancong antarabangsa khususnya dari Thailand masuk ke negeri ini," katanya.
-- BERNAMA