Kelantan peruntuk lebih RM100 juta tahun ini untuk kelestarian pendidikan

Bernama
September 12, 2024 08:00 MYT
Mohd Nassuruddin berkata 82 daripada 93 buah sekolah YIK yang terlibat dalam peperiksaan SPM dan STAM, termasuk dalam program kecemerlangan berkenaan yang melibatkan 5,162 calon SPM, manakala STAM seramai 1,024 orang. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kelantan memperuntukkan RM125.2 juta untuk kelestarian pendidikan bagi tahun ini yang akan disalurkan menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK), kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Ia termasuk peruntukan bagi Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Program Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan bantuan bagi pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.
Beliau berkata 82 daripada 93 buah sekolah YIK yang terlibat dalam peperiksaan SPM dan STAM, termasuk dalam program kecemerlangan berkenaan yang melibatkan 5,162 calon SPM, manakala STAM seramai 1,024 orang.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar di bawah kendalian kita terus melakar kejayaan, seterusnya mengharumkan nama negeri terutama dalam mengangkat sistem pendidikan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Peperiksaan dan Pelajar ke Timur Tengah serta Perasmian Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan di Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong di sini pada Rabu.
"Kita harap pihak sekolah dapat melaksanakan program kecemerlangan ini sebaik mungkin dan saya menaruh harapan yang tinggi kepada pelajar agar dapat menabur budi serta khidmat bakti kepada agama, bangsa dan tanah air apabila berjaya nanti," katanya.
Terdahulu Mohd Nassuruddin menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 setiap seorang kepada 98 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Jordan, Mesir dan Tunisia dalam pengajian perubatan, pergigian dan ulum syariah tahun ini.
Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan dengan peruntukan RM477,000 bagi membantu pelajar yang menghadapi kesukaran dalam pencapaian akademik disebabkan kekurangan akses kepada pendidikan tambahan.
Beliau berkata program itu melibatkan 1,350 orang pelajar membabitkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukan RM10,600 bagi setiap DUN yang akan dilaksanakan Oktober depan.
"Program ini menyasarkan pelajar sekolah menengah yang memerlukan bantuan tambahan dalam pelajaran, khususnya dari keluarga kurang berkemampuan.
-- BERNAMA
#Sijil Pelajaran Malaysia #bantuan tambahan #Sekolah Menengah #pendidikan tambahan
;