KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mengetuai suntikan vaksin COVID-19 pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Kelantan hari ini mengakui beliau berasa berdebar sebelum disuntik.

Namun beliau mengakui ianya tidaklah menyakitkan selepas disuntik dengan vaksin Pfizer- BioNTech itu.

Ahmad antara 42 individu awal menerima suntikan berkenaan termasuk 14 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan hari ini.

“Pengalaman itu berdebar sebab ramai sangat ,macam-macam orang beritahu tetapi sebenarnya biasa seperti mana suntikan yang hendak keluar negara. Jangan takut, biasa sahaja,” katanya.

Vaksin COVID-19 | Kelantan mulakan program imunisasi

Ahmad bersama 41 yang lain menerima suntikan berkenaan di Kompleks Kota Darul Naim sekitar jam 11.30 pagi tadi sempena pelancaran Program Imunisasi COVID-19 peringkat Kelantan.

Selain Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, turut menerima suntikan, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta 27 individu petugas barisan hadapan termasuk Ketua Polis Kelantan dan Pengarah Penjara Kelantan.

Ahmad turut memaklumkan seramai 21,645 petugas barisan hadapan akan menerima vaksin fasa pertama sehingga akhir April depan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,416 orang akan menerima vaksin di Kota Darul Naim.