Kelantan mula beri dos penggalak hari ini

Bernama
Oktober 14, 2021 18:09 MYT
Bagi peringkat permulaan, dos penggalak terbabit akan diberikan kepada petugas barisan hadapan dengan sebanyak 20,000 dos suntikan diperuntukkan untuk petugas kesihatan. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Kelantan hari ini mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer dengan sasaran seramai 200,000 individu yang akan menerima suntikan berkenaan secara berperingkat.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata bagi peringkat permulaan ia akan diberikan kepada petugas barisan hadapan dengan sebanyak 20,000 dos suntikan diperuntukkan untuk petugas kesihatan.
"Pemberian dos penggalak ini akan diberikan juga kepada mereka yang mempunyai komorbiditi selain individu yang mungkin ingin ke luar negara.
Mungkin beberapa negara yang berkeperluan (dos penggalak) jadi kita akan berikan kepada individu berkenaan, malah mereka yang merasakan termasuk dalam kategori yang disenaraikan boleh datang ke hospital (untuk terima suntikan)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada Yayasan Ikhlas yang diketuai pengerusinya Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin di Cawangan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) , di sini hari ini.
Dr Zaini turut berkata pemberian dos penggalak di negeri itu dilaksanakan oleh hospital, klinik kesihatan dan klinik swasta mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, Dr Zaini berkata setakat ini 79 peratus individu berusia 18 tahun ke atas di Kelantan sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
Beliau turut berkata walaupun negeri ini masih merekodkan kes harian COVID-19 mencecah empat angka, namun 97 hingga 98 peratus daripada kes berkenaan hanya melibatkan pesakit Kategori Satu dan Dua, selain sebilangan kecil lagi adalah kategori selebihnya.
-- BERNAMA
#dos penggalak #vaksin COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Pfizer
;