Kelantan mohon RM1.7 bilion dari kerajaan pusat atasi masalah bekalan air terawat

Muhafandi Muhamad
Februari 3, 2021 13:05 MYT
AHMAD: Kalau loji kita baik pun kita akan hilang air kalau tak tukar paip. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telahpun memohon sejumlah RM1.7 bilion dari kerajaan pusat bagi mengatasi masalah bekalan air terawat di negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, melalui program pengurangan air tidak berhasil (non-revenue water, NRW) dan penggantian paip uzur sejauh 4,006 kilometer, akan dapat mengatasi masalah air kepada rakyat Kelantan.
“Memang kerajaan sedar kita sebenarnya berusaha untuk menukar paip, ini usaha kita melalui program ini. Kita walaupun tak besar, kita memikirkan usaha menyeluruh secara jangka pendek.
“AKSB melalui kerajaan negeri merancang untuk tukar paip secara berperingkat. Kalau loji kita baik pun kita akan hilang air kalau tak tukar paip,” ujar Ahmad Yakob.
Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) sebelum ini melaporkan lebih 50 peratus NRW berlaku yang menyebabkan bekalan air terawat tidak sampai kepada pengguna.
Ahmad berkata, penggantian paip lama dapat mengurangkan masalah NRW itu sekali gus bekalan air terawat dapat disalirkan kepada pengguna.
AKSB pada masa ini sedang berusaha melaksanakan projek jangka pendek dalam usaha membekalkan air bersih ke seluruh negeri Kelantan.
Sebahagian rakyat Kelantan ketika ditemui Astro AWANI baru baru ini melahirkan kekecewaan kerana masalah bekalan air bersih masih gagal ditangani oleh kerajaan negeri.
#masalah air #Air Kelantan #AKSB #menteri besar kelantan #Ahmad Yakob #ganti paip #NRW #Air Tidak Berhasil #kerajaan pusat
;