Kelantan minta Kerajaan Persekutuan segera bayar royalti minyak
Bernama
Mei 30, 2019 06:00 MYT
Mei 30, 2019 06:00 MYT
Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyegerakan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan selepas isu saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran royalti minyak sudah diselesaikan 17 Mei lepas.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dari segi asasnya semua urusan berkaitan saman itu telah selesai.
"Cuma isu sekarang adalah Kerajaan Persekutuan melalui wakilnya mahu satu tarikh ditetapkan bagi pendengaran semula kes dan mahkamah telah menetapkan tarikh itu pada September hadapan.
"Jadi kita kena tunggu lagi sehingga tarikh itu. Kalau tengok kepada keadaan ini, Kelantan nampaknya tiada harapan untuk mendapat bayaran royalti minyak tahun ini... kita harap Kerajaan Persekutuan meneliti perkara ini kerana kita patuhi semua proses yang diperlukan bagi tujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2018 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Pendidikan Pengaijian Tinggi sains dan Teknologi Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Seramai 863 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menerima anugerah itu dengan masing-masing mendapat sumbangan berjumlah RM500 seorang.
Mengulas mengenai majlis Iftar anjuran Anggota Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Kuil Gurdwara Sahib, Mohd Amar berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
"Secara peribadi bagi saya ia tidak sepatutnya berlaku kerana perlu ada batas dalam hubungan agama walaupun kita perlu hormat agama lain. Puasa ini satu ibadat jadi tidak sesuai kita berbuka di tempat ibadat agama lain.
"Toleransi pun ada batas sempadannya yang perlu dijaga agar akhirnya kita tidak hilang identiti. Berdakwah itu boleh tetapi perlu ada kaedahnya...Islam ada prinsipnya seperti mana dalam surah Al-Kafirun yang bermaksud 'bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami'," katanya.
-- BERNAMA
#Mohamed Fadzli Hassan
#Mohd Amar Nik Abdullah
#pembayaran royalti minyak
#Petronas
#Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan
#Putik