Kelantan masih menunggu royalti yang dijanjikan
Vivi Sumanti
November 26, 2018 16:52 MYT
November 26, 2018 16:52 MYT
Kerajaan Negeri Kelantan masih menagih dan menunggu janji pembayaran royalti hasil petroleum seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan yang baru.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan akan menyelesaikan isu tuntutan itu sebelum akhir tahun ini.
"Kelantan belum dapat lagi royalti, Menteri Hal Ehwal Ekonomi kata nak selesaikan sebelum akhir tahun ini, ada sebulan lagi, kita tunggulah," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Intergriti Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.
Menurut Mohd Amar lagi, rakyat dan kerajaan negeri sudah lama menunggu untuk menikmati hasil royalti dari kawasan yang menjadi tuntutan di Joint Development Area (JDA).
Kerajaan negeri Terengganu sudah menerima bayaran berjumlah RM300 juta pada Ogos dan awal September lalu dan masih menunggu baki royalti yang dianggarkan berjumlah antara RM400 hingga RM500 juta sebelum akhir tahun ini.
Mengulas mengenai pembayaran kepada kerajaan Terengganu, Mohd Amar berkata Kelantan sudah lama menunggu pembayaran dan menantikan seperti yang dijanjikan.
Kerajaan negeri tidak mengetahui berapa jumlah yang bakal dibayar oleh kerajaan pusat namun menurut perkiraan kerajaan negeri jumlah yang sepatutnya di bayar ialah RM14. 9 bilion bermula pengeluaran pada tahun 1992.