Sungguhpun belum ada kes influenza dilaporkan di Kelantan setakat ini, namun pihak Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa melakukan pemantauan dalam kalangan penduduk sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak adalah penting termasuk mengadakan ujian saringan di pintu masuk sempadan antarabangsa seperti di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubur yang bersempadan dengan Thailand.

"Pihak jabatan juga akan memperkukuhkan saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infleksi," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses saringan kesihatan di ICQS Rantau Panjang di sini, pada Rabu.

Dr Zaini berkata, pihaknya memandang serius penularan kes influenza dan memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA