Kelantan mahu bekerjasama dengan Kerajaan Pusat atasi banjir

Astro Awani
Januari 9, 2017 22:58 MYT
Kerajaan negeri Kelantan menyambut baik hasrat Kerajaan Pusat untuk berbincang mencari jalan penyelesaian jangka panjang mengatasi banjir. - Gambar fail
Kerajaan negeri Kelantan menyambut baik hasrat Kerajaan Pusat untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang mengatasi banjir negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya berlapang dada dan membuka ruang untuk tujuan berkenaan.
“Kita sambut baik dari dulu lagi sebab setiap kali banjir, ada jawatankuasa dan kita di kerajaan negeri sentiasa menyambut baik cadangan ini.
“Kita boleh berbincang untuk kawal banjir di negeri ini dan menyambut baik apa sahaja program serta bersetuju”, katanya selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tempatan, Climate Protector Sdn Bhd di sini.
Katanya, kerajaan negeri dan pusat tidak mempunyai masalah untuk berbincang mengenai kepentingan rakyat.
Beliau mengulas kenyatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerjasama holistik antara kerajaan negeri dan pusat dalam mengatasi masalah banjir dengan mengetepikan fahaman politik.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahmad Yakob dapat duduk semeja bagi berbincang kaedah menyelesaikan masalah banjir.
Jelas Ahmad Zahid, Kerajaan Pusat mahu melihat penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah itu yang saban tahun berlaku.
Sementara itu, Ahmad Yakob turut menjelaskan keadaan banjir di Kelantan sudah pulih namun taksiran kerugian melibatkan kerosakan rumah mangsa banjir, harta benda, tanaman dan ternakan masih belum dapat ditentukan lagi.
Beliau dan kerjaan negeri turut mengucapkan penghargaan kepada pihak yang membantu menghulurkan sumbangan dan bantuan termasuk kerajaan pusat kepada mangsa banjir.
#Datuk Ahmad Yakob #Kelantan #kerajaan pusat #MoU
;