Kelantan lebih Islam satu tanggapan 'syok sendiri' - Husam
Muhafandi Muhamad
Julai 21, 2019 17:07 MYT
Julai 21, 2019 17:07 MYT
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa berpandangan takrifan yang diguna pakai Pas bahawa negeri Kelantan lebih Islamik berbanding negeri lain sebagai tidak tepat.
Bekas pemimpin Pas itu juga menyifatkan tanggapan Pas selama ini bahawa Kelantan sebuah negeri Islamik sebagai ‘syok sendiri’.
Tegasnya, ukuran dan takrifan itu sepatutnya berasas kerana hakikatnya tiada keadaan yang boleh mencerminkan Kelantan sebagai sebuah negeri lebih Islam berbanding negeri lain.
“Jadi pengakuan bahawa Kelantan lebih Islamik hanya satu syok sendiri sahaja, kita kena lihat apakah ukuran dan apa KPI yang kata Islam kuat di Kelantan dan negeri lain tak kuat sebagaimana Kelantan,” ujarnya.
Tambah Husam, sekiranya ukuran Islam berdasarkan kehadiran ramai ke masjid, negeri lain turut menyaksikan lebih ramai kehadiran jemaah ke masjid, malah, katanya, program imarah masjid di Selangor dan Kuala Lumpur lebih meriah berbanding Kelantan.
Tahap kebersihan di Kelantan yang dikatakan berimej islam juga tidak memuaskan berbanding negeri lain.