Kelantan kuat kuasa penggunaan gelang merah jambu, hijau
Muhafandi Muhamad
November 9, 2020 16:04 MYT
November 9, 2020 16:04 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperkenalkan peraturan pemakaian gelang merah jambu dan hijau bagi setiap orang yang memasuki Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, bagi perantau yang pulang dari zon merah, mereka diwajibkan menjalani ujian swab, dipakaikan gelang merah jambu dan diminta supaya kuarantin di rumah selama 14 hari.
Manakala bagi mereka yang masuk kerana tugasan rasmi kerajaan, mereka akan dipakaikan gelang hijau sepanjang berada di Kelantan.
“Mesyuarat JKN baru-baru ini memutuskan bahawa kita akan buat sekatan di pintu masuk negeri dan Kelantan buat pertama kali perkenalkan gelang baharu – dua warna iaitu hijau dan merah jambu.
“Warna merah jambu ini untuk (mereka yang datang) dari zon merah dan masuk ke Kelantan (untuk) balik kampung dan dia kena kuarantin 14 hari. Mereka yang sebegini kalau (keluar) ke kedai misalnya, akan didenda RM1,000.
“Warna hijau pula khas untuk pegawai-pegawai yang datang mesyuarat, dan sebahagiannya akan menjalani ujian swab sebelum menggunakan gelang ini... dan dia terhad untuk ke tempat mesyuarat sahaja tak boleh gerak ke tempat lain,” ujarnya.
Kata Dr Izani, ketetapan itu dibuat selepas kerajaan menimbang untuk membendung penularan COVID-19 di Kelantan yang masih kekal sebagai negeri zon hijau.
Katanya, mereka yang dipakaikan gelang merah jambu sekiranya didapati merayau atau berada luar dari rumah mereka, tindakan undang-undang akan dikenakan.
Manakala bagi pemakai gelang hijau, mereka hanya dibenarkan berada di tempat urusan mereka sahaja.
Selepas tugas selesai, gelang hijau berkenaan akan dipotong sewaktu mereka keluar dari Kelantan.
#Kelantan
#Izani Hussin
#pandemik
#COVID-19
#gelang pink
#Gelang merah jambu
#gelang hijau
#keihatan