Kelantan jalankan kajian terperinci perintah berkurung remaja

Muhafandi Muhamad
Januari 3, 2019 15:22 MYT
Ahmad berkata, kajian menyeluruh bagi mengetahui sebab remaja suka keluar rumah waktu malam sedang dilakukan sebelum pelaksanaan itu dapat dilakukan. - Gambar fail
Kerajaan Kelantan akan menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan melaksanakan perintah bekrurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah sosial di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob.
Ahmad berkata, kajian menyeluruh bagi mengetahui sebab remaja suka keluar rumah waktu malam sedang dilakukan sebelum pelaksanaan itu dapat dilakukan.
“Saya rasa buat kajian dahulu apa punca mereka keluar malam, mesti ada tarikan. Kemungkinan ada kedai menjual sehingga larut malam, mungkin kedai kita benarkan sehingga 12 malam.
“Masalah rumah tangga yang membawa kepada hubungan tidak mesra juga adalah faktor mengapa anak keluar malam,” katanya.
Kajian itu sedang dilakukan pejabat kajian strategik dan konsultan bebas sebelum mendapatkan syor bersesuaian dan dibentang dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Selain itu Kelantan bersedia hadkan masa operasi kedai lewat malam yang disifatkan mendorong remaja keluar malam.
BACA: Perintah berkurung untuk remaja: Perlis tidak akan ikut Kelantan
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, sekurang-kurangnya tujuh negara sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang, termasuk Thailand, Iceland dan Jerman.
Kebanyakkan negera yang menetapkan perintah berkurung melibatkan remaja berusia 16 tahun ke bawah di mana mereka tidak dibenarkan keluar rumah melebihi jam 10 malam manakala remaja bawah 18 tahun pula dilarang keluar melebihi 12 malam.
#Ahmad Yaakob #gejala sosial #Kelantan #masalah sosial #menteri besar kelantan #PAS #perintah berkurung remaja #remaja #Remaja keluar malam
;