Kelantan harap LTSIP dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa - Mohd Amar
Wanna Abd Rahim
Julai 27, 2022 12:32 MYT
Julai 27, 2022 12:32 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengharapkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa akan dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa untuk rantau Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasil perbincangan yang dimaklumkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk menaikkan taraf LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.
"Perdana Menteri pada dasarnya bersetuju untuk menaik taraf lapangan terbang Kota Bharu (LTSIP) bersifat antarabangsa, destinasinya khusus untuk kawasan Asia Tenggara, bukan Eropah dan lain lain," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan malam tadi.
Mohd Amar berkata, usaha itu kelak akan memberi peluang baik kepada Kelantan sekiranya LTSIP dijadikan hub transit Asia Tenggara kerana kedudukan Kelantan sebagai negeri yang hampir dengan Thailand, Australia dan Vietnam.
LTSIP yang kini sedang dinaik taraf menelan belanja dengan kos lebih RM440 juta dengan jangkaan siap pada tahun 2024.
Skop utama projek naik taraf itu adalah merangkumi pembesaran dan menaik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun (MPPA) kepada empat MPPA yang dijangka dapat dicapai pada 2028.
Projek itu juga akan mengasingkan balai ketibaan dan pelepasan penumpang dengan bangunan terminal yang lebih besar.
Apabila siap kelak, LLTSIP juga bakal mempunyai tempat letak kereta bertingkat selain 11 jambatan udara (Aerobridge).
Projek naik taraf dan pembesaran LTSIP merupakan antara projek pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).