Kelantan hanya terima wang ehsan, bukan royalti - MB

Bernama
Oktober 15, 2019 10:47 MYT
Ahmad memberi contoh, pada 2017, royalti yang sepatutnya diperoleh Kelantan adalah sebanyak RM1.03 bilion. - Gambar fail
Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 Sept lepas daripada kerajaan Persekutuan dan bukannya royalti, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Ahmad berkata kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai pemberian royalti kepada Kelantan adalah mengelirukan.
"Kenyataan itu kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan rakyat. Yang dituntut oleh kerajaan negeri adalah royalti minyak dan wang gas. Yang diberi atau disalurkan adalah wang ehsan.
"Maksud Menteri Kewangan telah membuat bayaran pendahuluan (termasuk untuk tahun depan) adalah wang ehsan, bukan royalti minyak.
"Beza terlampau jauh dan kita memang telah terima wang ehsan pada 17 Sept sebanyak RM15,749,561.50," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) yang mahu tahu apakah benar kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran royalti termasuk bayaran pendahuluan kepada Kelantan.
Terdahulu, Wan Hassan bertanyakan perancangan kerajaan negeri untuk meneroka punca hasil baharu yang berasaskan kepada sumber mineral sebagaimana yang disebut dalam sidang yang lepas.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang mahu tahu jumlah anggaran semasa royalti yang perlu dibayar kepada Kelantan dan tunggakan, Ahmad berkata ia bergantung kepada hasil tahunan yang diperoleh.
"Sebagai contoh, pada 2017, royalti yang sepatutnya diperoleh Kelantan adalah sebanyak RM1.03 bilion. Ini sumber yang kita dapat melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri. Untuk jumlah keseluruhan saya perlukan notis," katanya.
Semalam, Lim dilaporkan berkata bayaran royalti minyak telah dibuat pada bulan lepas atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
#Ahmad Yakob #DUN Kelantan #ekonomi #Kelantan #kerajaan #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #mengelirukan #Menteri Besar #minyak #rakyat #royalti #tunggakan #wang ehsan
;