Kelantan ganti vaksin Sinovac dengan Pfizer di semua PPV mulai bulan depan

Bernama
Julai 15, 2021 10:43 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menamatkan pengagihan vaksin Sinovac di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri pada akhir bulan ini dan mengantikannya dengan vaksin Pfizer. - Gambar fail
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menamatkan pengagihan vaksin Sinovac di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri pada akhir bulan ini dan mengantikannya dengan vaksin Pfizer.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mulai bulan depan, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) hanya akan membekalkan vaksin jenis Pfizer kepada semua PPV di negeri itu.
Bagaimanapun, sekiranya selepas ini CITF membekalkan semula vaksin Sinovac atau apa-apa jenis vaksin lain, ia akan tetap digunakan, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, JKNK dalam notis pemberitahuan bertarikh 13 Julai memaklumkan bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir Julai dan akan digantikan dengan vaksin Pfizer.
Mulai Ahad ini, semua PPV hanya akan dibekalkan dengan dos kedua vaksin Sinovac dan tiada lagi bekalan dos pertama. - BERNAMA
#Sinovac #Pfizer #vaksin COVID-19 #Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan #Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #CITF #Pusat Pemberian Vaksin #Kelantan