Kelantan dilanda banjir lagi

Sinar Harian
Disember 14, 2023 13:10 MYT
Kelantan dilanda banjir lagi apabila hujan tanpa henti sejak Rabu. - Foto JBPM
KOTA BHARU: Kelantan dilanda banjir lagi apabila hujan tanpa henti sejak Rabu telah menyebabkan 271 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada Khamis.
Banjir kali ini melibatkan dua jajahan iaitu Kuala Krai dan Tanah Merah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, empat keluarga di Kelewek, Tanah Merah terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami banjir kilat.
"Mereka semua ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek seramai 11 orang," katanya kepada pemberita.
Di jajahan Kuala Krai enam PPS sudah diaktifkan iaitu di Pejabat Veterina, Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang, Madrasah Kampung Sepuluh, Masjid Cuchuh Puteri A, Pusat Komuniti Chucuh Puteri A dan Madrasah Chucuh Puteri A.
PPS Pusat Komuniti Chucuh Puteri A menempatkan mangsa paling ramai setakat ini iaitu 61 orang, diikuti Madrasah Kampung Sepuluh (60), SK Chenulang (53) dan Masjid Chucuh Puteri A (35).
Sementara itu, Madrasah Chucuh Puteri A (33) dan Pejabat Veterina (18). - Sinar Harian
#Kelantan #banjir kelantan #info banjir terkini #monsun timur laut
;