Kelantan cuti Ahad cerita tahun 2013, Astro AWANI difitnah
Muhafandi Muhamad
Julai 22, 2014 22:23 MYT
Julai 22, 2014 22:23 MYT
Pejabat Menteri Besar Kelantan siang tadi menafikan kononnya ada membuat pengumuman negeri itu akan bercuti peristiwa pada Ahad ini sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Isnin.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata laporan yang kononnya tersiar di laman web Astro AWANI itu tidak benar kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan melalui Facebook atau mana-mana saluran.
"Mesyuarat exco belum bincang lagi perkara ini. Ia dijangka dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 23 Julai (Rabu)," katanya kepada Astro Awani di Kota Bharu.
Astro AWANI tidak menerbitkan laporan berkenaan sebaliknya ia maklumat palsu yang disebarkan daripada sebuah laporan yang terbit pada Ogos 2013 semasa menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
Petang tadi tersebar di internet berita yang mengatakan kerajaan Kelantan mengisytiharkan hari Ahad ini sebagai cuti peristiwa sempena sambutan Aidilfitri.
Berita itu disebarkan dengan menyiarkan berita yang disiarkan Astro AWANI pada tahun lepas dengan memadamkan butiran tarikh kemaskini artikel tersebut.