Kelantan cadang Jambatan Guillemard diiktiraf tapak warisan sejarah dunia
Bernama
Jun 4, 2024 07:00 MYT
Jun 4, 2024 07:00 MYT
TANAH MERAH: Kelantan akan mencadangkan Jambatan Guillemard yang mula dibina pada tahun 1920 di Sungai Kusial, di sini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak sejarah warisan dunia.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Md Noor berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke Jabatan Warisan Negara dalam masa terdekat.
Beliau berkata jambatan kereta api yang genap berusia 100 tahun pada Julai ini mempunyai nilai sejarah kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua.
"Jambatan berkenaan menjadi satu lokasi tarikan pelancongan di Kelantan dan bagi merealisasikan hasrat itu ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kamarudin berkata jambatan yang siap dibina pada tahun 1924 itu dimiliki oleh Perbadanan Aset Keretapi dan perlu mendapat kerjasama mereka untuk membenarkan jambatan ini dijadikan sebagai tapak warisan sejarah dunia.
"Sebelum diisytiharkan sebagai tapak warisan sejarah dunia, kita juga perlu meningkatkan infrastruktur di sekitar jambatan ini termasuk untuk sambutan 100 tahun usia jambatan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh Bahari Mohd Noor berkata jambatan kereta api itu mempunyai sejarah yang unik.
"Jika kita sebut pelancongan berkonsepkan pantai, gunung, bukit dan pulau di semua tempat ada, namun jambatan ini hanya ada satu di Tanah Merah bahkan di Malaysia," katanya.
Menurut Penghulu Mukim Tebing Tinggi Muhamad Rafiq Umardin berkata pada zaman 80-an, jambatan itu satu-satunya laluan perhubungan orang kampung antara dari Machang, Kuala Krai dan luar Kelantan untuk melepasi sungai Kelantan.
"Alhamdulillah dengan usaha pelbagai pihak termasuk penduduk kampung, kawasan di jambatan itu kini 'hidup' dan kembali dibangunkan untuk produk pelancongan. Kemudahan seperti kiosk jualan, laluan pejalan kaki, tandas awam dan taman permainan kini sedang dibina," katanya.
Jambatan sepanjang 609.6 meter itu jambatan kereta api terpanjang di Malaysia dan sehingga kini masih digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad.
-- BERNAMA