Kelantan bina 107 rumah Dhuafa' tahun ini - Menteri Besar
Bernama
Januari 7, 2023 14:35 MYT
Januari 7, 2023 14:35 MYT
TUMPAT: Kerajaan Kelantan akan membina sebanyak 107 unit rumah Dhuafa' dengan peruntukan berjumlah RM5.61 juta kepada golongan yang berkelayakan di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, usaha berterusan menerusi Program Bantuan Rumah Dhuafa' (PBRD) itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa prihatin dan komited dalam menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan asnaf di Kelantan.
"Pembinaan bagi setiap rumah tiga bilik itu membabitkan kos RM55,000 dan peruntukan menerusi program ini juga boleh digunakan bagi membaiki rumah yang rosak iaitu sebanyak RM10,000.
"Antara syarat untuk layak menerima bantuan rumah menerusi program itu adalah mereka perlu memiliki tanah sendiri atau tanah diberikan perakuan daripada ibu bapa atau saudara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Dhuafa' di Kampung Laut, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, 614 unit rumah dengan peruntukan berjumlah RM4.5 juta turut diberikan tahun ini menerusi program itu bagi baik pulih rumah dan sumbangan bahan binaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkeupayaan membaiki rumah mereka.
"Untuk rekod sejak 2009 hingga 2022, sebanyak 1,282 rumah baharu dibina berjumlah RM51.88 juta, manakala bagi baik pulih rumah pula RM64.91 juta diperuntukkan membabitkan 7,381 unit rumah," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai PBRD di jajahan Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang dari segi pencapaian output adalah memuaskan, Ahmad berkata, pihak berkaitan sedang meneliti semula perkara tersebut supaya memenuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.
Menerusi laporan pada 24 Nov 2022 itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, bagi pengurusan program bantuan itu terdapat kelemahan dari aspek pengurusan bayaran, spesifikasi dan kualiti serta pemantauan program. - BERNAMA