Kelantan benarkan bazar, Madinah Ramadan

Bernama
Mac 19, 2022 15:56 MYT
Peniaga dan pelanggan bazar Ramadan serta peserta program Madinah Ramadan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kerajaan negeri membenarkan operasi bazar Ramadan dan Program Madinah Ramadan pada bulan puasa kali ini, selepas dua tahun tidak diadakan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata peniaga dan pelanggan bazar Ramadan serta peserta program Madinah Ramadan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Mengenai bilangan peniaga, tugas penentuan jumlah (peniaga) diserahkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) setiap daerah. Di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sudah diluluskan sebanyak 13 tapak bazar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Pesisir Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Kundor di sini hari ini.
Bagi Madinah Ramadan pula, Dr Izani berkata program yang melibatkan aktiviti seperti solat terawih, berbuka puasa dan sahur itu, akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV.
"Persiapan seperti memasang khemah juga telah dilakukan sejak Ahad lalu. Pada tahun ini, kira-kira 500 orang jemaah sahaja dibenarkan mengikuti program Madinah Ramadan bagi mematuhi kapasiti SOP ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#Kelantan #Ramadan #bazar #Madinah Ramadan
;