Kelantan belanja lebih RM23.7 juta bantu pasangan berkahwin sejak 2011
Bernama
Disember 18, 2021 07:45 MYT
Disember 18, 2021 07:45 MYT
KOTA BHARU: Sebanyak RM23,768,000 dibelanjakan oleh kerajaan Kelantan bagi membantu pasangan yang ingin berkahwin melalui Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj, sejak 2011.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setiap tahun sebanyak RM3 juta diperuntukkan melibatkan kira-kira 3,000 pasangan dengan pengantin lelaki akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.
"Sekiranya tahun tersebut mempunyai lebihan wang peruntukkan ini, ia akan digunakan pada tahun seterusnya kerana tidak semestinya tahun tersebut kita akan menerima 3,000 pasangan untuk berkahwin.
"Justeru, skim bantuan kewangan ini sebenarnya dapat membantu pasangan muda yang terpilih untuk melangsungkan perkahwinan berdasarkan ketetapan syarat yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas meraikan 55 pasangan pengantin pada Majlis Raikan Cinta Perdana, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata antara syarat yang perlu dipatuhi adalah pasangan lelaki itu mestilah berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peserta yang memohon mestilah anak kelahiran Kelantan.
"Sekiranya bukan berasal dari Kelantan, setiap pemohon (lelaki) mesti menetap selama 15 tahun di negeri ini dan mendapat pengesahan daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing," katanya.
-- BERNAMA