Kelangsungan pengendali gimnasium selepas sebulan dibuka semula

Isabelle Leong
Julai 15, 2020 09:30 MYT
Setelah genap sebulan diberikan kebenaran untuk membuka semula pusat kecergasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagaimana pula nasib pengendali sekarang? - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
Pastinya sebelum ini, pengusaha sektor perniagaan berkaitan sukan antara mereka yang paling terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan ekoran penularan wabak COVID-19.
Setelah genap sebulan diberikan kebenaran untuk membuka semula pusat kecergasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagaimana pula nasib pengendali sekarang?
Kelangsungan perniagaan tentunya penting, lebih-lebih lagi selepas tiga bulan ditutup, terutamanya dalam fasa pemulihan ekonomi pada ketika ini.
Menyesuaikan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan kelaziman baharu operasi pastinya bukan sesuatu yang mudah.
Namun, demi mencari sesuap nasi, pengendali gim akur dengan kelaziman baharu berkenaan.
Pengasas Muscle Up Fitness and Gym, Ray Leow Kok Wah berkata beliau gigih melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mendorong ahli-ahlinya untuk kembali bersenam di gimnya.
“Kami mengirim mesej teks kepada 10 peratus pelanggan kami yang masih takut untuk datang dengan menghantar video tentang pembersihan gim dan langkah kebersihan yang kami lakukan.
“Kami juga menghantar video SOP untuk memastikan mereka berasa selesa untuk kembali.
“Kami berharap mereka akan kembali suatu hari nanti,” kata Ray.
Sementara itu, Pengasas The Flow Studio, Tiffany Yow pula mencari alternatif dengan menganjurkan latihan secara dalam talian bagi memastikan kelangsungan perniagaanya.
“Sebagai contoh, untuk beberapa kelas studio yang terpilih, kami menstrimkannya secara langsung.
“Kami menyediakan siaran langsung di hadapan jurulatih dan anda boleh turut serta dari rumah anda.
“Ini supaya anda berasa seolah-olah anda berada di studio, tetapi anda berada di rumah,” ujarnya.
Mark Douglas Choo, Pengasas bersama TRIBE Boxing Studio turut senada dengan Tiffany dalam strategi merancakkan kembali perniagaan di studio tinjunya.
Bagaimanapun, beliau akui terpaksa membuat keputusan yang sukar bagi memastikan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dalam melaksanakan latihan secara fizikal dan latihan maya.
“Dalam satu pasukan, setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza berkenaan (strategi) mana yang berkesan dan mana yang tidak.
“Tetapi akhirnya, semua kakitangan bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk syarikat dan mempertahankannya dalam PKP, PKPP dan sebagainya serta muncul lebih kuat.
“Oleh itu, apabila kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dahulu mengenainya tetapi pada akhirnya, saya dan Chris sebagai rakan kerja perlu membuat keputusan yang sukar,” jelasnya.
Seperti jumlah ahli dan pelanggan yang dihadkan, kelaziman turut menyaksikan banyak latihan kesihatan dilakukan secara dalam talian.
Ini adalah kelaziman atau kebiasaan baharu.
Keadaan hari ini menitik beratkan survival kehidupan dan perniagaan, tanpa berkompromi soal kesihatan.
Bagaimanapun, timbulnya persoalan. Berapa lama yang akan diambil oleh industri ini untuk pulih seperti sedia kala?
Saksikan laporan penuhnya menerusi Cerita Normal Baharu pada Rabu, 15 Julai 6 petang di saluran 501 dan di platform digital Astro AWANI.
#COVID-19 #dalam talian #gimnasium #kebenaran untuk membuka semula #kelaziman baharu #latihan #nasib #pembukaan semula ekonomi #pengendali #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #perniagaan berkaitan sukan #PKPP #pusat kecergasan #SOP #yoga
;