Kelam kabut dibuatnya, khemah di luar PPV Kangar rosak dipukul ribut

Salim Aziz
Ogos 5, 2021 14:28 MYT
Ini kali ketiga kejadian seumpamanya berlaku di PPV berkenaan.- Foto Astro AWANI
KANGAR: Tujuh khemah menunggu dan mengambil nombor giliran di bahagian luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020 di sini terjejas dan tumbang selepas dpukul ribut pada awal pagi tadi.
Pegawai Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) negeri Perlis, Dr Izwana Hamzah berkata kejadian itu dimaklumkan berlaku sekitar 5 pagi tadi oleh pengawal keselamatan.
Namun begitu kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
Kejadian ribut itu juga tidak menjejaskan bahagian dalam dewan PPV terbabit dan perjalanan pemberian suntikan vaksin di PPV itu tidak terjejas selain berjalan lancar hari ini.
“Pagi tadi agak kelam kabut untuk kita pastikan operasi kita boleh bermula pada 8 pagi. Kami betul-betul tak tahu. Kami dimaklumkan pengawal (ribut) mungkin berlaku sekitar 4, 5 pagi macam tu.
“Kami dimaklumkan awal, pukul 7 pagi dah dimaklumkan. Maka anggota petugas pun datang awal untuk ambil tindakan jadi dalam sejam sebelum pukul 8 pagi kita dah dapat pindahkan kawasan terbabit sebab yang kena ini kawasan menunggu dan tempat bagi nombor sebelum masuk ke dalam,” katanya.
Ini kali ketiga kejadian seumpamanya berlaku di PPV berkenaan.
Tinjauan Astro AWANI sekitar jam 10 pagi tadi mendapati kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit masih dilakukan.
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dilihat memasang dua khemah sementara di kawasan pendaftaran masuk, sebagai persediaan sekiranya hujan.
Difahamkan terdahulu, kerja-kerja pengalihan khemah yang rosak dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
#COVID-19 #Perlis #PICK #PPV #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Pemberian Vaksin #vaksin #Kangar #ribut #APM
;