Kelahiran Marco satu kejayaan dalam pembiakan haiwan terlindung

Nickyson Nyambar
Jun 3, 2020 18:13 MYT
Burung Enggang merupakan ikon Bumi Kenyalang dan tambahan terbaharu Marco dalam kelompok burung itu merupakan satu kebanggaan dan kejayaan dalam pembiakan hidupan liar negeri tersebut. -Gambar Ihsan Sarawak Forestry Corporation (SFC)
Pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) memperkenalkan anak burung Enggang terbaharu spesis Oriental Pied Hornbill yang diberi nama ‘Marco’.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, pihaknya dan Rizab Semulajadi Piasau (PNR), Miri menyambut kelahiran terbaharu anak burung Enggang terbabit yang dilahirkan di hutan rizab tersebut.
Jelasnya, ini adalah merupakan kejayaan ke tujuh dalam kitaran pembiakan haiwan terlindung terbabit.
“Marco adalah hasil pembiakan oleh dua burung dari spesis sama iaitu Juliet dan Jimmy. Marco berada dalam sarang selama hamper 90 hari dan dilihat kali pertama pada 27 April lalu,” kata beliau.
Tambahnya lagi, Marco akan dibiarkan terbang bebas di hutan tersebut kerana kumpulan burung Enggang memainkan peranan penting kepada ekosistem dan habitat semula jadi mereka.
Namun demikian, pihak SFC dan renjer hutan akan memantau burung berkenaan bagi memastikan mereka bebas dari sebarang ancaman.
“Salah satu daripada usaha yang dilakukan adalah dengan menanam pokok buahan supaya terdapat makanan untuk burung ni dan keduanya kita harus memahami pergerakan sosial atau kemasyarakatan burung-burung ini,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, Zolkipli berkata, SFC buat masa ini meneruskan pelbagai kajian dan kerjasama bagi memastikan ilmu-ilmu berkenaan habitat haiwan terlindung dan sifatnya dikuasai.
“Kami ada program dipanggil Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA). Melalui program ini, kami akan pergi ke rumah-rumah panjang, kampung, lading, tempat pembalakan dan ke sekolah untuk menerangkan apakah hasil atau tujuannya kita mengadakan program ini iaitu untuk pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan-haiwan di Sarawak khasnya hidupan liar,” kongsinya.
Untuk rekod, Rizab Semulajadi Piasau (PNR) dengan keluasan 92.65 hektar ini menjadi habitat buat lebih seribu flora dan fauna pelbagai jenis termasuk spesis haiwan terlindung.
Ia telah diwartakan sebagai hutan rizab sejak December, 2013.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Burung Enggang #CEPA #Marco #Miri Sarawak #Oriental Pied Hornbill #PNR #Rizab Semulajadi Piasau #Sarawak Forestry Corporation #SFC
;