Kelahiran dua bayi 'anak merdeka' serikan sambutan Hari Kebangsaan
Aida Aziz
Ogos 31, 2022 07:45 MYT
Ogos 31, 2022 07:45 MYT
IPOH: Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 pada 31 Ogos diserikan lagi dengan kelahiran dua bayi 'anak merdeka' di Hospital Pakar KPJ Ipoh, di sini, pada Rabu.
Kelahiran dua bayi iaitu seorang perempuan dan lelaki, masing-masing dilahirkan secara normal dan pembedahan.
Hospital Pakar KPJ Ipoh dalam kenyataan berkata, sambutan Hari Kebangsaan lebih meriah dengan kelahiran anak pertama Thoe Chui Yan.
"Kemeriahan tambah dirasai apabila Thoe Chui Yan melahirkan bayi pertamanya di sini dalam suasana sambutan Hari Kemerdekaan.
"Bayi perempuan seberat 2.65kg dilahirkan secara normal di bawah pemantauan Dr Pang Ay Min," katanya.
Sementara itu, suami Chui Yan, Khor Sen Yang turut berkongsi kegembiraan dan rasa teruja dengan kelahiran anaknya itu, lebih-lebih lagi ketika negara baru sahaja dapat meraikan hari bersejarah itu secara besar-besaran tahun ini.
Ia susulan pandemik COVID-19 yang mengekang sebarang aktiviti atau acara yang membabitkan orang ramai, dua tahun sebelumnya.
"Saya amat bersyukur kerana isteri saya telah selamat melahirkan bayi pertama kami.
"Kami tidak sabar untuk pulang dan meraikannya bersama keluarga tercinta.
"Terima kasih kepada doktor dan semua staf KPJ Ipoh yang memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping meraikan kelahiran bayi kami dalam suasana kemerdekaan yang begitu meriah," katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan KPJ Ipoh turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama para pelanggan yang hadir untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
Mereka juga mengedarkan Jalur Gemilang yang direka sebagai biskut.
Dalam pada itu, para pelawat juga berkongsi perasaan dan semangat patriotisme mereka dengan menampal nota dan pesanan di ruang legar hospital itu.